Jumat, 28 Desember 2012

Istinja'

PENGERTIAN ISTINJA’

    * Istinja’ bererti menghilangkan najis yang keluar dari qubul atau dubur dengan air atau batu atau benda keras yang seumpama batu serta suci, dapat menghilangkan najis dan tidak haram menggunakannya.


    HUKUM ISTINJA’

    * Hukum istinja’ untuk menghilangkan najis adalah wajib.
    * Sunat beristinja’ dengan batu kemudian dibasuh dengan air.
    * Harus memilih untuk beristinja’ dengan hanya menggunakan air sahaja atau menggunakan sekurang-kurangnya tiga biji batu jika dapat menghilangkan najis. Walaubagaimanapun, lebih afdhal menggunakan air kerana air lebih berupaya dan berkesan untuk menghilangkan najis.
    * Jika menggunakan batu, diwajibkan menyapu dengan sekurang-kurangnya tiga biji batu atau tiga penjuru dari sebiji batu dengan syarat:

    1. Najis yang hendak dibersihkan itu tidak kering.

    2. Tidak merebak ke bahagian lain.

    3. Tidak bercampur dengan najis yang lain.

    * Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka hendaklah menggunakan air.


    ADAB MEMBUANG AIR

    1. Haram menghadap ke arah qiblat atau membelakanginya apabila membuang air di kawasan lapang. Walaubagaimanapun, disunatkan juga tidak menghadap atau membelakangi qiblat apabila membuang air di dalam bangunan seperti tandas atau apabila ada dinding atau tabir antara orang itu dengan qiblat.

    2. Makruh membuang air di dalam air yang tidak mengalir atau di dalam air mengalir yang sedikit, tetapi jika air mengalir itu banyak, maka yang lebih baik dielakkan dari membuang ke dalamnya. Ini berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:

    “Bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam menegah membuang air (kencing) di dalam air yang tidak mengalir.”

    3. Makruh membuang air di bawah pokok buah-buahan sama ada ketika berbuah atau tidak.

    4. Makruh membuang air di dalam lubang dan di celah rekahan tanah.

    5. Makruh membuang air di jalan, di tempat teduh dan di dalam lubang yang bukan digali khas untuk membuang air.

    6. Makruh bercakap ketika membuang air kecuali kerana sesuatu keperluan.

    7. Makruh menghadap ke arah matahari atau bulan ketika membuang air.

    8. Sunat berlindung daripada pandangan manusia.

    9. Haram membawa bersama-sama sebarang benda yang ada catatan nama Allah, Al-Qur’an dan seumpamanya ketika membuang air.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar